Lebam Semakin Pudar, Siti Nurhaliza Kongsi Perkembangan Selepas Terjatuh
Siti Nurhaliza berkata wajahnya semakin pulih selepas insiden ketika latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara.

KUALA LUMPUR - Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memaklumkan kesan lebam di bawah mata dan pipinya semakin pudar selepas terjatuh ketika menjalani latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara.
Menurut laporan OhBulan! pada 28 Oktober, penyanyi itu berkata wajahnya menunjukkan perkembangan positif walaupun kesan lebam masih mengambil masa untuk hilang sepenuhnya.
Siti menjelaskan kulit wajahnya sensitif dan bahagian tisu yang terjejas masih terasa agak keras selepas insiden berkenaan.
“Alhamdulillah muka saya dah makin beransur pulih,” katanya seperti dipetik portal tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tahlil Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Mengimbas kejadian itu, Siti memaklumkan beliau mendapatkan pemeriksaan di hospital dan menjalani imbasan CT selepas terjatuh.
Menurut penjelasannya, pemeriksaan tersebut tidak menemukan sebarang keretakan atau pendarahan dalaman.
Doktor bagaimanapun memaklumkan kecederaan pada tisu wajah memerlukan masa untuk sembuh dan kesan lebam akan beransur hilang.
Walaupun masih melalui proses pemulihan, Siti melahirkan rasa syukur kerana dapat meneruskan persembahan serta menyelesaikan konsert berkenaan.
Konsert Tradisional Gema Bumantara berlangsung pada 17 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas insiden ketika latihan menimbulkan kebimbangan peminat.
Sumber: OhBulan!; mStar


