Gendang lima negara bergema di Kaleidoscope VIII
Kaleidoscope VIII menghimpunkan penggiat perkusi dari Malaysia, Jepun, Venezuela, Cuba dan Amerika Syarikat di Sunway Square mulai 29 September.

KUALA LUMPUR: Rentak daripada lima negara bakal bertembung apabila festival perkusi Kaleidoscope VIII: Infinite Beats berlangsung di Sunway Square dari 29 September hingga 4 Oktober.
Edisi kelapan anjuran HANDS Percussion bersama Sir Jeffrey Cheah Performing Arts Centre itu menghimpunkan penggiat dari Malaysia, Jepun, Venezuela, Cuba dan Amerika Syarikat.
Empat konsert utama menjadi teras program enam hari yang turut disertai persembahan percuma, bengkel, kelas induk, sesi gendang komuniti dan simposium antarabangsa.
Barisan peserta merangkumi Seppuku Pistols dari Jepun, La Tribu dari Venezuela, Juan Carlos Allende dari Cuba dan pemain perkusi Steve Thornton yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
KOMPANG BERTEMU GENDANG DUNIA
Warna tempatan pula dibawa HANDS Percussion, Akademi Seni Putera Selangor serta The Pulse Quartet daripada Temple of Fine Arts Malaysia.
Pertemuan itu membuka ruang kepada gendang Cina, ritma festival Jepun, rentak Afro-Latin, kompang Melayu dan perkusi klasik India untuk berkongsi satu pentas.
Konsert utama dijadualkan berlangsung di Grand Theatre, JCPAC pada 2, 3 dan 4 Oktober dengan tiket bermula RM98.
Setiap malam akan dibuka pasukan 24 Festive Drums daripada empat sekolah, sekali gus meletakkan seni kelahiran Malaysia itu sebagai pembuka utama, bukan sekadar pengiring.
TIGA KARYA BAHARU
Festival kali ini turut menjadi pentas tayangan perdana dunia bagi tiga karya ciptaan komposer HANDS Percussion, termasuk Infinite, The Flow dan Taboo.
Pengarah artistik HANDS Percussion, Bernard Goh menyifatkan idea Infinite Beats sebagai gerak tanpa henti yang tetap “tidak melupakan sumber”.
Program awam merangkumi 11 persembahan ringkas percuma, sesi gendang komuniti untuk peserta tanpa pengalaman dan pasar seni Little Bulat dari 2 hingga 4 Oktober.
Kaleidoscope VIII ditutup dengan simposium yang membincangkan cara irama membawa budaya serta kedudukan seni perkusi dalam zaman kecerdasan buatan.

