Sahabat Makan Sahabat, Nadhir Nasar Terperangkap Dalam 'Bayangan Dendam'
Nadhir Nasar membuat kemunculan sulung dalam produksi Viu Original menerusi Bayangan Dendam, sebuah thriller cinta, pengkhianatan dan kematian misteri.
Klip rasmiSahabat Makan Sahabat, Nadhir Nasar Terperangkap Dalam 'Bayangan Dendam' · Viu Malaysia / Myinfotaip
KUALA LUMPUR - Persahabatan yang sepatutnya menjadi tempat berlindung bertukar menjadi medan pengkhianatan apabila Nadhir Nasar, Erysha Emyra dan Sophia Albarakbah dipertemukan dalam siri Viu Original terbaharu, Bayangan Dendam.
Drama misteri 12 episod itu menandakan kemunculan sulung Nadhir dalam produksi Viu Original selepas namanya mencuri perhatian menerusi deretan karya filem dan televisyen.
Nadhir membawakan watak Farhan, seorang pemuda yang terperangkap dalam cinta tiga segi bersama dua sahabat baik, Melissa lakonan Sophia dan Ariana yang dilakonkan Erysha.
Segalanya bermula apabila Melissa meminta Ariana memerhatikan Farhan secara senyap ketika lelaki itu menyambung pengajian di luar negara.
Namun, permintaan yang kelihatan biasa itu membuka ruang kepada hubungan terlarang apabila Ariana dan Farhan mula saling jatuh cinta.
Pengkhianatan tersebut memaksa Melissa menelan luka daripada dua insan yang paling dipercayainya ketika hubungan mereka semakin kusut dan sukar diselamatkan.
KEMATIAN UBAH SEGALANYA
Konflik cinta itu berubah menjadi teka-teki jenayah selepas Melissa ditemukan mati dalam keadaan yang pada awalnya kelihatan seperti bunuh diri.
Kematian berkenaan menyebabkan Farhan, Ariana dan individu di sekeliling mereka menjadi perhatian kerana masing-masing menyimpan rahsia tersendiri.
Daripada kisah curang, naratif Bayangan Dendam bergerak ke lorong lebih gelap apabila setiap petunjuk menimbulkan persoalan baharu tentang siapa yang benar-benar bertanggungjawab.
Barisan pelakon turut diperkuatkan Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin, Mia Nasir, Faha Azhar dan Lan Siro yang mengisi dunia drama tersebut dengan watak berlapis serta agenda tersendiri.
HELMI YUSOF KELUAR ZON SELESA
Naskhah arahan Helmi Yusof itu memperlihatkan sisi berbeza pengarah berkenaan yang sebelum ini sinonim dengan karya komedi ringan seperti Abang Imam Minah Skuter dan Ate Kome, I Love You.
Kali ini, Helmi memilih rentak lebih tegang dengan menggabungkan cinta, syak wasangka dan siasatan bagi memastikan penonton terus meneka hingga episod akhir.
Siri terbitan Global Film Station dengan kerjasama Viu itu juga menyatukan Nadhir dan Erysha, dua duta MILO®, buat kali pertama dalam sebuah naskhah drama.
Bayangan Dendam mula menemui penonton pada 22 Oktober lalu dengan episod baharu disiarkan setiap Khamis dan Jumaat menerusi platform Viu.
Bagi peminat thriller romantik, persoalan terbesar bukan lagi siapa yang mencuri hati siapa, tetapi siapakah yang mempunyai sebab paling kuat untuk membunuh Melissa.


