Kyuhyun Umum Jelajah Asia CONTINUE, Tujuh Kota Dibuka Dengan Lagi Destinasi Menyusul
Seoul membuka tirai sebelum Kyuhyun bergerak ke Bangkok, Hong Kong, Tokyo, Taipei, Kobe dan Kaohsiung.

KUALA LUMPUR, 31 Okt. Penyanyi Korea Selatan, Kyuhyun membuka lembaran baharu kerjaya solonya dengan mengumumkan jelajah Asia bertajuk CONTINUE yang bakal bermula di Seoul pada Disember ini.
Pengumuman dibuat menerusi akaun rasmi penyanyi itu pada 30 Oktober, sekali gus mengesahkan tujuh bandar pertama dalam jadual jelajah yang merentasi Korea Selatan, Thailand, Hong Kong, Jepun dan Taiwan.
Tiga malam buka tirai di Seoul
Kyuhyun akan memulakan jelajah dengan tiga persembahan di Jangchung Arena, Seoul pada 18, 19 dan 20 Disember 2026.
Perjalanan itu kemudian diteruskan ke Bangkok pada 9 Januari 2027 sebelum dua malam di Hong Kong pada 13 dan 14 Februari.
Peminat di Jepun pula akan menyambut Kyuhyun di Tokyo pada 21 Februari, diikuti dua malam di Kobe pada 21 dan 22 Mac.
Taipei turut menerima dua persembahan pada 27 dan 28 Februari, manakala Kaohsiung dijadualkan menjadi hentian seterusnya pada 27 dan 28 Mac.
Masih ada destinasi baharu?
Poster rasmi jelajah menyertakan frasa “and more”, memberi petunjuk bahawa bandar tambahan mungkin diumumkan kemudian. Bagaimanapun, belum ada pengesahan sama ada Kuala Lumpur termasuk dalam perancangan tersebut.
Jelajah CONTINUE berkongsi judul dengan EP baharu Kyuhyun yang dijadualkan dilancarkan pada 11 November 2026, jam 6 petang waktu Korea.
Menurut laporan Sports Chosun, album berkenaan membawa kesinambungan perjalanan muzik Kyuhyun dan tekadnya untuk terus berkongsi karya serta cerita peribadi melalui muzik.
Kyuhyun dijangka membawakan lagu daripada EP baharu itu bersama pilihan karya popularnya sepanjang siri persembahan berkenaan.
Butiran tiket bagi persembahan Seoul telah diumumkan menerusi Weverse, sementara maklumat bagi hentian luar Korea akan menyusul mengikut pengumuman penganjur tempatan.
Buat masa ini, peminat Malaysia perlu menunggu perkembangan seterusnya sebelum membuat kesimpulan tentang kemungkinan Kuala Lumpur menjadi salah satu destinasi tambahan.


