Senior masih berbisa, bakat baharu menggila di AIM25
AIM25 mempertemukan Siti Nurhaliza dan KRU dengan Aisha Retno, Alpha serta barisan bakat baharu pada 26 September ini.
Klip rasmiSENIOR MASIH BERBISA, BAKAT BAHARU MENGGILA DI AIM25 · JuicyLahFoto Hael: Farouk Azim / Wikimedia Commons · CC BY-SA 4.0 · paparan dipangkas
KUALA LUMPUR: Pentas Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) pada 26 September ini bakal menyaksikan pertembungan menarik antara nama senior yang masih berbisa dengan barisan bakat baharu yang semakin mencuri perhatian.
Lebih tiga dekad selepas AIM diperkenalkan pada 1993, edisi kali ini bukan sekadar medan perebutan trofi, malah memperlihatkan bagaimana dua generasi mampu bersaing dalam kategori yang sama.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah kategori Vokal Wanita Terbaik yang menemukan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Shila Amzah bersama Aisha Retno serta Marsha Milan.
Situasi sama dapat dilihat dalam Vokal Kumpulan Terbaik apabila KRU dan Inteam berdepan Alpha, Fetya serta Madinah.
Kategori Kugiran Terbaik pula menyaksikan Akim & The Majistret bersaing dengan Ramayan, Jazleen, Patriots dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Amir Masdi.
Jelas, nama besar dan pengalaman bukan tiket mudah untuk membawa pulang trofi apabila bakat generasi baharu turut hadir dengan karya yang mendapat pengiktirafan juri.
Siti belum mahu mengalah
Dalam kemunculan ramai pencabar, Siti kekal menjadi nama paling dominan AIM25 apabila meraih 14 pencalonan keseluruhan.

Pelantun lagu Kesuma itu tercalon dalam beberapa kategori termasuk Vokal Wanita Terbaik, Album Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perayaan Terbaik serta kategori teknikal.
Lebih menarik, empat karyanya iaitu Kesuma, Rencong, Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri bersaing sesama sendiri dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik.
Album Gema Bumantara pula membawanya memburu trofi Album Terbaik selain turut tercalon dalam Rakaman Album Terbaik.
Pencapaian itu membuktikan Siti bukan sekadar hadir membawa status senior atau bergantung pada kejayaan lalu, sebaliknya masih aktif menghasilkan karya yang mampu bersaing dengan generasi selepasnya.
Bakat baharu mula menghimpit
Dalam masa sama, Aisha Retno muncul antara nama generasi baharu yang mencuri tumpuan apabila turut menempatkan diri dalam beberapa kategori utama.
Menerusi Tak Adil, Aisha bakal berdepan Siti, Liza Hanim, Shila Amzah dan Marsha Milan bagi merebut Vokal Wanita Terbaik.
Albumnya, [RE.HAB] pula bersaing dengan Gema Bumantara milik Siti, SA25 nyanyian Shila Amzah, Lelaki Gila oleh Naim Daniel dan Adnin Roslan serta Jati Diri oleh Faizal Tahir dan Let Zapin bagi kategori Album Terbaik.

Alpha juga tidak kurang mencuri perhatian apabila bukan sahaja memburu Artis Baharu Terbaik menerusi Mona Lisa (Bang Bang), malah turut berdepan KRU dan Inteam dalam kategori Vokal Kumpulan Terbaik menerusi P. Ramlee Saloma.
Bagi Artis Baharu Terbaik, Alpha dicabar Rezza Shah menerusi Mungkin, Ary Hussin dengan Luka Terpaling Dalam, Qal-G menerusi Sepi serta Yusuf Kassim dengan Sebelum Mata Terpejam Selamanya.
Siapa antara mereka yang bakal membawa pulang trofi hanya diketahui pada malam kemuncak, namun kategori itu mempunyai nilai tersendiri jika melihat kembali sejarah AIM.
Dulu Siti pun artis baharu
Siti sendiri pernah bermula sebagai bakat baharu sebelum namanya menjadi antara yang paling sinonim dengan AIM.
Penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memenangi kategori Artis Solo Baru Terbaik (Wanita) pada 1997 sebelum terus mencipta pelbagai pencapaian dalam edisi berikutnya.

Sebab itu, kemenangan Artis Baharu Terbaik AIM25 bukan sekadar satu lagi trofi buat lima calon berkenaan, sebaliknya berpotensi menjadi permulaan kepada perjalanan lebih panjang dalam industri muzik tanah air.
Malah, jika ditelusuri lebih jauh, sejarah AIM sendiri dipenuhi nama yang ketika itu masih berada pada peringkat awal kerjaya.
Bermula dengan 10 kategori
AIM pertama berlangsung pada 15 Disember 1993 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur dalam skala yang jauh berbeza berbanding hari ini.
Edisi pertama dimulakan dengan acara makan malam dan tidak disiarkan secara langsung di televisyen.
Seha dan Norman KRU diberi tanggungjawab sebagai pengacara, manakala Ning Baizura, Ziana Zain, Nico dan Feminin antara artis yang membuat persembahan.

Ketika itu, 10 kategori dipertandingkan selain Anugerah Sri Wirama.
Ning mencipta sejarah apabila Dekat Padamu menjadi album pertama dinobatkan sebagai Album Terbaik AIM.
Shima pula menewaskan antaranya Ning dan Ziana Zain untuk kategori Vokal Terbaik Wanita, sementara Feminin menjadi penerima pertama Artis Baru Terbaik Berkumpulan.
Daripada sebuah acara dengan 10 kategori, AIM kemudian berkembang seiring perubahan industri muzik tempatan.
Bukan penyanyi sahaja diberi pengiktirafan, malah komposer, penerbit, jurutera rakaman dan tenaga produksi di belakang tabir turut diraikan.
Perjalanan AIM juga melalui perubahan daripada zaman kaset dan cakera padat kepada era muat turun, penstriman serta platform digital.
Inti JuicyAIM25 mempertemukan legasi dan wajah baharu muzik Malaysia dalam persaingan yang semakin terbuka.
Sejarah baharu di Sarawak
Selepas lebih tiga dekad, AIM25 sekali lagi bakal membuka lembaran baharu apabila malam kemuncaknya buat pertama kali berlangsung di Sarawak.
Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dipilih sebagai lokasi acara. Kira-kira 600 penyertaan diterima sebelum 135 calon mara ke peringkat akhir, dengan 32 kategori bakal dipertandingkan.

Dua kategori baharu turut diperkenalkan iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
Pengenalan dua kategori tersebut sekali gus bakal melahirkan dua pemenang sulung yang akan tercatat dalam sejarah AIM.
Daripada Ning, Shima dan Feminin pada edisi pertama, kemudian muncul generasi Siti, KRU dan ramai lagi, kini pentas AIM mula dipenuhi kelompok baharu yang mahu mencipta sejarah sendiri.
AIM25 mungkin masih menyaksikan nama senior mendominasi pencalonan, namun kehadiran Aisha Retno, Alpha dan barisan bakat baharu membuktikan persaingan semakin terbuka.
Sama ada trofi terus menjadi milik nama berpengalaman atau beralih kepada generasi baharu, semuanya bakal terjawab di Kuching, Sarawak pada 26 September ini.

